Memandangkan sistem ekonomi dan kewangan global kini sedang berhadapan dengan risiko-risiko pasaran terutamanya dalam gelombang pandemik ini, keperluan dan permintaan untuk mempunyai kepakaran dalam industri kewangan Islam juga semakin meningkat terutama dalam perkembangan pasaran kewangan Islam yang semakin dinamik.
Melihat dari sisi yang lain, kewangan Islam itu sendiri bukan sahaja hanya memfokuskan kepada kefahaman yang komprehensif dalam aspek kewangan, ekonomi, perundangan atau perakaunan semata-mata, malah ia juga turut memerlukan pemahaman yang sebenar terhadap ilmu Syariah dan pada masa yang sama ia dapat diaplikasikan bersesuaian dengan kerangka industri dan keperluan semasa.
Tambahan pula, dengan faktor gangguan kewangan yang berlaku disebabkan oleh kewujudan teknologi baru dan perkembangan Fintech kini amat memerlukan para sarjana dan modal insan yang lebih bersedia serta mahir dalam landskap baru. Secara tidak langsung perubahan ini menuntut para graduan kewangan Islam untuk lebih cekap dalam menyelesaikan “masalah yang sangat kompleks” mengenai kewangan Islam di Malaysia.
Dalam usaha untuk terus membangunkan kepakaran serta melahirkan lebih ramai modal insan dan profesional kewangan Islam yang bertaraf global, pihak kerajaan Malaysia dan Bank Negara Malaysia (BNM) khususnya telah sama-sama mengorak langkah yang proaktif dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif dan peluang untuk menambah baik sistem yang sedia ada serta mewujudkan lebih banyak latihan bagi memperkasakan lagi usaha murni dalam mengembangkan bakat kewangan Islam.
Sponsored Content
Memandangkan generasi Muslim kini sekurang-kurangnya mempunyai kelebihan tersendiri iaitu tenaga kerja yang berdaya saing serta kemudahan teknologi terkini, usaha untuk mewujudkan lebih banyak institusi-institusi kewangan Islam pada masa akan datang amat bergantung kepada kemampuan mereka dalam menguasai pengetahuan serta kemahiran dalam teknologi dan inovasi.
Malah, pelaburan dalam melahirkan lebih ramai modal insan yang berkualiti juga pada masa yang sama turut perlu diberi perhatian secara khusus kerana kurangnya kepakaran dan individu yang berkelayakan dalam bidang ini sering dikaitkan dengan kurangnya pengetahuan dan pemahaman tentang kewangan Islam. Ini secara tidak langsung akan memberi impak kepada perkhidmatan serta inovasi produk yang diperkenalkan.
Secara umumnya, tugas untuk melahirkan legasi dan generasi yang memiliki kepakaran dalam sektor kewangan Islam ini menjadi prioriti utama kerajaan Malaysia khususnya dua badan pengawal selia, Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Manakala bagi bidang latihan industri, pendidikan dan, penyelidikan, Malaysia mempunyai Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), Securities Industry Development Cooperation (SIDC), International Shariah Research Academy for Islamic Finance (ISRA) dan Financial Sector Talent Enrichment Development Programme (FSTEP).
Malaysia kini memainkan peranan yang penting dalam memastikan usaha ini diteruskan serta mampu dijadikan sebagai rujukan utama dalam mempromosikan kewangan Islam. Dengan beberapa pendekatan dan usaha yang telah dirancang dan dilaksanakan, ini sekali gus meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang terus berkembang secara positif untuk menjadi hab modal insan kewangan Islam terbesar di dunia yang menawarkan sumber manusia dan kepakaran dalam bidang kewangan Islam ini. Pada masa yang sama, ia juga menyokong misi kerajaan Malaysia menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (SPV 2030) dalam menunaikan impian negara untuk menjadikan negara ini sebagai Hab Kewangan Islam 2.0 berikutan peranannya yang besar dalam menyumbang kepada kejayaan pembangunan kewangan Islam diperingkat global.
Sumber : https://www.shariahscreener.com/articles/Pemerkasaan-Modal-Insan-Kewangan-Islam