You are currently viewing Malaysia sebagai Hab Fintech Islam 2.0

Malaysia sebagai Hab Fintech Islam 2.0

Umum mengetahui, kewujudan revolusi perindustrian keempat (IR 4.0) telah menjadi faktor pemangkin bagi sektor kewangan Islam global dalam mengaplikasikan teknologi semasa seperti Big Data, Rantai blok (Block chain), kecerdasan buatan (Artificial Intelligent) serta Robotik. 

Bertepatan dengan misi kerajaan Malaysia dalam membina sektor baru yang kukuh menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (SPV 2030) dalam menjadikan negara ini sebagai Hab Kewangan Islam 2.0 bertaraf dunia, beberapa usaha dan inisiatif yang komprehensif sedang giat dijalankan demi mencapai komitmen nasionalnya disamping mengangkat Malaysia dalam menjadi antara negara yang menerajui industri kewangan Islam ini.

Malah, dalam usaha bagi menjadikan industri kewangan Islam di Malaysia ini untuk terus kekal relevan adalah dengan meningkatkan nilai kompetitif, serta memperkenalkan beberapa teknologi baharu dalam sektor ini untuk memudahkan akses yang lebih meluas kepada pelbagai segmen dan lapisan masyarakat Malaysia.

Menerusi laporan yang dinyatakan oleh State of the Global Islamic Economy Report 2020/2021, Malaysia mempunyai kelebihan dan potensi yang tinggi untuk menerajui dunia dalam sektor teknologi kewangan Islam atau dikenali sebagai (Fintech) kerana negara ini telah memperlihatkan peningkatan yang stabil dalam aktiviti pelaburan dan Fintech. Ini terbukti apabila pasaran Malaysia adalah antara pasaran Fintech yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara dengan hampir 200 syarikat Fintech tempatan dan asing yang beroperasi di negara ini setakat pada September 2020. Menurut IFNFintech.com (2020), Malaysia juga adalah antara negara yang mempunyai bilangan permulaan Fintech Islam yang tertinggi iaitu sekurang-kurangnya sebanyak 26 buah syarikat Fintech Islam yang sedang beroperasi di negara ini.

image
Antara contoh syarikat Fintech Islam di Malaysia 

Era Fintech Islam yang pertama di pasaran Malaysia telah mula diperkenalkan menerusi platform pendanaan orang ramai pada tahun 2016. Selain platform pendanaan orang ramai, Fintech Islam juga telah mencapai kemajuan yang ketara dan kemajuan ini termasuk Perikatan Fintech Islam (IFT Alliance), pengenalan Platform Akaun dan Pelaburan (IAP), dan pembiayaan P2P Islam. 

Fintech Islam juga turut mempunyai potensi dalam menyediakan solusi kewangan yang inklusif dan lestari yang dapat memenuhi keperluan kewangan bagi semua segmen masyarakat di Malaysia. Antara syarikat pemula niaga Fintech Islam yang kini semakin mendapat sambutan yang menawarkan platform gadai janji digital, pengurusan kekayaan dan aplikasi mudah alih adalah seperti Wahed Invest, Qard Hassan, HelloGold serta BEST Invest. Inovasi ini juga berjaya menarik lebih ramai pelanggan melalui kepelbagaian produk dan perkhidmatan yang ditawarkan dengan kos yang lebih rendah dan cekap.

Walaupun menghadapi persekitaran yang mencabar ekoran daripada pandemik COVID-19 yang telah memberi kesan ketara kepada semua sektor ekonomi dan perniagaan, perkembangan Fintech Islam ini menjadi semakin penting jika dibandingkan dengan sebelumnya. Ini dapat dilihat terutamanya apabila Fintech ini dapat memenuhi permintaan keperluan kewangan daripada mereka yang terlibat dalam menjalankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Ia juga menjadi satu keperluan kritikal pada masa ini bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mapan (SDG), sebagai usaha mengurangkan jurang kemiskinan di Malaysia.

Sponsored Content

image
Dapatkan Kursus Fintech : Konsep, Aplikasi & Fiqh Semasa di pautan https://mycourse.my/courses/fintech-konsep-aplikasi-fiqh-semasa/

Perbankan dan institusi kewangan Islam juga kini mempunyai aplikasi secara atas talian yang boleh menganalisis kredit, memantau cashflow atau perbelanjaan harian, serta aplikasi E-wallet seperti yang diperkenalkan di beberapa bank lain hasil daripada pendekatan yang digunakan dalam sistem Fintech. Dengan menjadikan Fintech sebagai sebuah ‘game changer’ atau ejen merubah dalam sektor kewangan Islam ini, ia sekali gus mampu memberikan impak yang besar dalam perkembangan industri ini di peringkat Malaysia.Selain menjadi pemangkin untuk Malaysia terus memacukan hasratnya menjadi hab kewangan Islam, peningkatan bilangan syarikat Fintech Islam yang semakin berkembang ini juga dapat membantu dunia untuk kekal bertahan terutamanya dalam era pasca pandemik ini dengan berlandaskan teras sosio ekonomi dan kemampanan alam sekitar, ekuiti sosial serta perdagangan adil dan kepenggunaan beretika.

Dengan adanya landskap Fintech yang komprehensif, sistem tadbir urus Syariah yang efisien, komuniti kewangan Islam yang komited serta sokongan dan galakkan dari pihak kerajaan dalam memperjuangkan sektor ekonomi Islam ini telah membuka lorong bagi Malaysia untuk menjadi hab Fintech Islam global dan ini diperkukuhkan lagi dengan lebih banyak inisiatif dalam mewujudkan penyelesaian kewangan yang berasaskan nilai dan lestari.

Kesemua pencapaian ini, berserta dengan kerjasama yang berterusan yang diterajui oleh agensi-agensi seperti Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) dalam mengembangkan lagi ekosistem industri global Fintech Islam, negara ini juga akan lebih bersedia untuk menjadi hab Fintech Islam ASEAN. Secara tidak langsung, pencapaian yang membanggakan ini telah menyumbang kepada Malaysia untuk ditempatkan di kedudukan teratas ekonomi Islam di peringkat global.

Sumber: https://www.shariahscreener.com/articles/%20Malaysia-Sebagai-Hab-Fintech-Islam

Leave a Reply